PR1MA Buka Permohonan Untuk Tujuh Projek Perumahan
KUALA LUMPUR 16 Jan. – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) hari ini membuka permohonan untuk 7,116 unit rumah bagi tujuh projek kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Melaka dan Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, tujuh projek berkenaan ialah Alam Damai, Kuala Lumpur; Bandar Meru Raya, Perak; Sungai Petani 1, Kedah; Kuala Ketil, Kedah; Bandar Layangkasa, Johor; Tebrau, Johor dan Melaka Tengah 1.
“Rumah-rumah PR1MA yang dibuka untuk proses permohonan akan ditawarkan pada harga yang menepati kemampuan dan pada harga yang telah dimandatkan iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan pada masa sama berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pendaftar PR1MA diseru membuat permohonan untuk projek pembangunan yang dipilih melalui laman web PR1MA di www.pr1ma.my sebelum tarikh tutup permohonan pada 28 Feb ini.
Menurutnya, bagi mereka yang belum berdaftar diminta mendaftar di laman web terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.
“Proses ini mempamerkan komitmen berterusan PR1MA dengan satu lagi langkah ke hadapan untuk merealisasikan impian masyarakat Malaysia yang berpendapatan sederhana iaitu berpendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM10,000 sebulan untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya. – BERNAMA
No comments