Apakah Kita Layak Membuka Aib Orang Lain
Dalam zaman moden memalukan atau mengaibkan orang lain amat mudah, klik butang SHARE jer. Kesannya jangan cerita, satu dunia tahu. Ramai yang berlumba-lumba nak buat posting, siap detail lagi kononnya untuk tujuan kebaikan, sebagai pengajaran.
Bagaimana kalau orang yang kita aib itu bertaubat dan Allah terima taubatnya? sedangkan apa yang kita post, yang kita share masih boleh di capai di internet, dibaca oleh lapisan generasi sedangkan kita dah tak mampu memadam atau mengawalnya? Samada kita layak atau tidak untuk membuka aib orang lain, renungi kisah Nabi Musa dan Bani Israel.
Ketika Nabi Musa berada di satu tempat yang sedang mengalami kemarau amat teruk, penduduk di situ meminta Nabi Musa untuk mendirikan solat Istisqa. Setelah solat, Nabi Musa mengangkat dua tangannya berdoa kepada Allah supaya menurunkan hujan untuk manfaat manusia, haiwan dan tumbuhan di kampung itu.
Namun Allah tidak memperkenankan doanya. “Ya Rabb, Engkau selalu memperkenankan doaku,” kata Nabi Musa. Allah menjawab: “Antara kamu sekalian ada seseorang sejak 40 tahun melakukan maksiat. Hujan tidak akan turun kecuali setelah ia menjauhkan diri daripada kamu sekalian.”
Nabi Musa kemudian menyampaikan perkara itu kepada kaumnya. Di kalangan kamu ada seseorang yang melakukan maksiat. Allah tidak akan menurunkan hujan sehingga orang itu keluar dari kawasan ini.
Lelaki itu mendengar apa yang Nabi Musa dan menyedari bahawa dialah yang dimaksudkan. Namun, dia masih berharap ada orang selain daripada dirinya. Bagaimanapun, tidak ada seorang pun yang mengaku.
“Ya Rabb, jika aku keluar, bererti aku telah memalukan diriku sendiri dan jika aku kekal di sini, bererti kaum aku akan mati kehausan. Ya Rabb, lindungilah aku, ampunilah aku. Mulai detik ini aku akan bertaubat kepadamu Ya Rabb,” katanya dalam hati.
Tidak lama kemudian hujan pun turun. “Ya Rabb, hujan telah turun, tetapi tidak ada seorang pun yang keluar.” Nabi Musa agak kebingungan. Allah memaklumkan kepada Nabi Musa bahawa orang itu telah bertaubat, “Hujan turun kerana taubat hamba-Ku yang selalu melakukan maksiat.”
Nabi Musa memohon ditunjukkan orang itu tetapi jawapan diterimanya: “Aku telah menutup aibnya ketika melakukan maksiat dan aku tidak akan memalukannya setelah bertaubat.” Wallahu a’lam
No comments