Penduduk Makin Gelisah Cuaca Sejuk di Kuala Krai
KUALA KRAI 19 Jan. – Cuaca sejuk yang melanda daerah ini sejak semalam menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penduduk terutamanya yang tinggal di khemah-khemah sementara terpaksa memakai baju yang lebih tebal menjelang waktu malam dan awal pagi.
Difahamkan suhu sekitar 20 darjah Celsius pada awal pagi ini berbanding 19 darjah Celsius semalam dengan keadaan di bandar ini berkabus bermula sehingga pukul 9 pagi.
Seorang penduduk di Jalan Geale di bandar ini, Faridah Yusof, 50, yang rumahnya musnah sepenuhnya dalam banjir baru-baru ini berkata, dia terpaksa menutup badannya dengan dua helai selimut di dalam khemah didiami.
“Cuaca sejuk ini amat dirasakan kerana kami sekeluarga tinggal dalam khemah yang hanya berbumbungkan plastik.
“Sejuknya hingga ke tulang. Mujur pakaian pun banyak orang beri. Kalau nak mandi, adakalanya kena masak air,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Zainuddin Awang Cik, 57, berkata, khemah sumbangan sukarelawan itu turut basah di bahagian dalam kerana terlalu sejuk.
Katanya, sekiranya keadaan ber*terusan, dia dan keluarga terpaksa mencari tempat berlindung baharu.
“Air seperti embun menitis di dalam khemah sehingga baju saya basah dan tilam menjadi lembap. Tapi hari ini sudah sedikit kurang sejuk tidak seperti dua hari lalu,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd. Zainuddin bingung memikirkan nasibnya kerana dia difahamkan hanya pemilik rumah akan menerima bantuan perumahan kekal daripada kerajaan selepas ini.
“Kami difahamkan bantuan rumah yang akan diberi kerajaan nanti hanya untuk pemilik rumah, bagaimana nasib saya sebagai penyewa yang tinggal di rumah tersebut semasa banjir dan kemusnahan segala harta benda?
“Di kawasan saya tinggal ini, ada kira-kira 30 buah keluarga yang merupakan penyewa yang kini turut berada dalam dilema serupa,” katanya.-Utusan
No comments