Penyerang Charlie Hebdo Ditembak Mati
Pasukan antipengganas Perancis menembak mati dua beradik yang dikehendaki kerana menyerang pejabat akhbar satira Charlie Hebdo dalam operasi ke atas tempat persembunyian mereka di timur laut Paris.
Sementara itu empat orang tebusan terbunuh dalam satu operasi berasingan di sebuah pasaraya di bandar Paris.
Presiden Perancis, Francois Hollande mengesahkan kejadian tersebut, lapor agensi berita Reuters.
Beliau menyifatkan serangan oleh kumpulan bersenjata beragama Islam itu sebagai tindakan “antisemitik” dan perkauman dan menggesa warganya agar tabah menghadapi serangan tersebut.
Kumpulan bersenjata tersebut menahan tebusan di pasar raya Hyper Cacher di daerah Vincennes. Beberapa orang tebusan dilihat bergegas meninggalkan pasar tersebut apabila pasukan polis membuat serbuan.
Perancis merancang untuk mengadakan perhimpunan besar esok sebagai bantahan ke atas serangan tersebut.
Ia dijangka akan disertai Canselor Jerman Angela Merkel, Perdana Menteri Britain David Cameron, Matteo Renzi (Itali), Mariano Rajoy (Spain) dan presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker.
Presiden Amerika Syarikat juga menyatakan sokongan negaranya.
Presiden Kongres Yahudi Sedunia Ronald Lauder turut mengutuk serangan tersebut dan berkata "nyawa Yahudi di Perancis diancam sekiranya keganasan tidak dihentikan”.
Rakaman video di kawasan pasar raya tersebut menunjukkan berpuluh orang anggota polis dengan kelengkapan antipengganas berkawal di luar dua pintu utama.
Serangan bermula dengan tembakan dan letupan di pintu. Para tebusan seterusnya meluru keluar daripada pintu terbabit.
Rakaman Reuters antara lainnya menunjukkan seorang lelaki yang membawa seorang bayi diiring ke sebuah ambulans oleh polis manakala yang lain dengan pengusung.
Polis Perancis menggerakkan hampir 90,000 anggotanya selepas serangan ke atas Charlie Hebdo, akhbar mingguan yang sering meraih kontroversi kerana menyindir Islam serta agama dan pemimpin politik lain.
Seorang saksi menyebut, salah seorang daripada penyerang tersebut didakwa melaungkan: “Kita sudah bunuh Charlie Hebdo! Kita sudah membela Nabi!”
Dua beradik tersebut dipercayai penyerang yang menembak mati 12 orang, termasuk kartunis dan dua orang anggota polis.
Pasukan keselamatan menyebut, dua beradik tersebut yang dilahirkan di Perancis berada bawah pengawasan dan diletakkan dalam senarai larangan terbang di Eropah dan Amerika Syarikat.
Peristiwa keganasan itu menimbulkan persoalan baru mengenai pengawasan ke atas kumpulan radikal, politik berhaluan kanan, agama dan penapisan di negara yang bergelut dengan masalah integrasi sejumlah kira-kira lima juta warga Islamnya. - mk
No comments