Header Ads

  • Breaking News

    Akta Baharu Ganti Akta Kanak-Kanak 2001

    Akta Baharu Ganti Akta Kanak-Kanak 2001
    Akta baharu yang akan menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

    Beliau berkata draf akta baharu itu yang memberi lebih penekanan terhadap kecuaian ibu bapa dalam penjagaan anak-anak, kini sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara selepas pihaknya membuat beberapa pindaan.

    "Pada tahun lepas, kita menghantar draf pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 kepada Peguam Negara namun dikembalikan untuk diperhalusi dan kini draf itu diserah semula kepada Peguam Negara dan sedang diteliti dari segi perundangan, perkataan serta istilah digunakan.

    "Kita jangka pada Jun, bentang di Parlimen tetapi kami cuba untuk awalkan memandangkan akta lama telah tidak lagi terpakai.

    "Memandangkan pindaan yang dibuat (terhadap akta sedia ada) lebih 70 peratus, kita yakin Peguam Negara akan bersetuju ia jadi satu akta baharu yang mungkin dikenali Akta Kanak-Kanak 2015," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis 'Santai Kopi O' bersama Rakan FB Komuniti Pertubuhan Wanita (Perwani) Shah Alam di Galeri Shah Alam.

    Mengulas lanjut, Rohani berkata akta baharu itu akan melibatkan penambahbaikan beberapa aspek antaranya tempoh hukuman penjara dan jumlah denda yang lebih setimpal dengan kesalahan membabitkan penderaan dan pengabaian anak-anak.

    Beliau berkata berdasarkan Akta Kanak-Kanak sedia ada, hukuman bagi kesalahan penderaan ialah denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan manakala hukuman bagi kesalahan pengabaian ialah denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika disabitkan kesalahan.

    "Hukuman pada masa ini tidak setimpal, kita nak lebih berat dan pada masa sama kita berpendapat tidak mencukupi jadi kita turut menambah cadangan supaya ibu bapa yang disabit dengan kesalahan perlu menjalani khidmat masyarakat supaya mereka lebih insaf dan bermuhasabah diri.

    "Selain itu, penambahbaikan dalam akta baharu juga, kita perlu pastikan selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) terutama membabitkan rotan.

    "Kita telah tandatangani konvensyen itu jadi kita kena patuhinya kerana mereka akan memantau kita," katanya.

    Selain itu, Rohani berkata akta baharu akan turut membabitkan aspek  penglibatan kanak-kanak dalam proses membuat keputusan berhubung hal kebajikan mereka serta membabitkan proses pemulihan. - Bernama

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad