Indonesia Laksana Hukuman Mati Pesalah Dadah
JAKARTA -Peguam Negara Indonesia mengesahkan enam individu termasuk lima warga asing yang disabitkan dengan kesalahan dadah telah menjalani hukuman tembak sampai mati, sekalipun segelintir masyarakat menentangnya.
Muhammad Prasetya berkata, hukuman keras itu mesti dilakukan kerana kerajaan begitu komited dalam menangani peningkatan kes pengedaran dadah. Beliau juga menegaskan, Indonesia perlu dilindungi daripada bahaya dadah.
Kenyataan dibuat Muhammad bagi menjawab kritikan komuniti antarabangsa terhadap pelaksanaan hukuman mati itu.
Enam pengedar dadah terbabit terdiri daripada empat lelaki, masing-masing warga Belanda, Brazil, Malawi dan Nigeria. Manakala dua wanita masing-masing dari Indonesia dan Vietnam.
Hukuman itu dilaksanakan skuad menembak pada tengah malam Sabtu di penjara dekat Pulau Nusakambangan, Jawa Tengah.
Hukuman tembak sampai mati bagi dua wanita itu dijalankan di Boyolali, juga di wilayah Jawa Tengah.
Mayat mereka kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Wijayapura di Cilacap untuk dituntut ahli keluarga atau kedutaan negara masing-masing.
Hukuman itu dilaksanakan setelah Presiden Joko Widodo menolak rayuan akhir yang dikemukakan Presiden Brazil dan Kerajaan Belanda.
Tindakan itu mengakibatkan Belanda memanggil pulang sementara dutanya sebagai protes hukuman itu.
Belanda menyifatkan pelaksanaan hukuman itu sebagai "kejam dan tidak berperikemanusiaan serta menafikan hak dan maruah kemanusiaan.
No comments