Header Ads

  • Breaking News

    Jabatan Pertanian Akan Hapuskan Rumpai Miang Mexico

    PUTRAJAYA 11 Dis. – Jabatan Pertanian telah membentuk sebuah jawatankuasa bertindak bagi menghapuskan rumpai miang Mexico atau parthenium hysterophorus yang kini merebak di enam negeri membabitkan kawasan seluas 28.28 hektar.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, tindakan itu bertujuan menghapuskan rumput tersebut secepat mungkin kerana boleh menyebabkan alahan terutama kepada kanak-kanak dan orang tua.

    Beliau berkata, semua kakitangan dan agensi di bawah jabatan itu telah diarah mengambil tindakan sebaik sahaja menerima laporan daripada orang ramai yang menemui rumpai miang Mexico.

    “Kawasan rumpai itu ditemui semakin luas berbanding 4.8 hektar pada November lalu kerana orang ramai semakin sedar akan kewujudannya dan membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas hebahan dibuat melalui akhbar dan televisyen.

    “Antara negeri yang dikesan ditumbuhi rumpai miang Mexico ialah Perak (lapan hektar), Selangor (0.7 hektar), Kedah (13 hektar), Negeri Sembilan (5.6 hektar), Johor (0.9 hektar) dan Melaka (0.08 hektar).

    “Rumpai ini sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan alahan teruk terhadap kanak-kanak dan orang tua. Setiap pokok mampu menghasilkan 100,000 biji benih yang mana setiap satunya mampu bertahan selama 10 tahun jika tertanam di dalam tanah dan tumbuh semula.

    “Tindakan mekanikal yang kita lakukan sekarang ialah mencabut rumpai tersebut jika kawasan penemuan tidak besar dan pokoknya masih kecil. Selain itu, pasukan khas kita juga akan menyembur racun dan akan memantau kawasan berkenaan selama lima tahun untuk memastikan benihnya betul-betul mati,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Sebelum ini, akhbar melapor­kan mengenai kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan pada sistem pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.

    Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Amerika Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

    Menurut Zakaria, pihaknya turut bekerjasama dengan penyelidik dari universiti-universiti tempatan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengkaji bagaimana hendak mengatasi masalah alahan dan cara kawalan yang komprehensif.

    Dalam pada itu katanya, pihaknya sedang mengkaji bagaimana rumpai miang Mexico boleh tumbuh di negara ini dan kemungkinan ia dibawa oleh ternakan yang diimport.
    sumber

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad