Header Ads

  • Breaking News

    PERISTIWA SERANGAN BALAI POLIS BUKIT KEPONG

    PERISTIWA SERANGAN BALAI POLIS BUKIT KEPONG
    23 FEBRUARI 1950 - Balai Polis Bukit Kepong terletak lebih kurang 37 batu dari Bandar Muar dan hanya dapat dihubungi dengan bot melalui jalan sungai. Balai polis ini mempunyai kekuatan anggota seramai 18 orang dan dibantu oleh lima orang Auxiliary Police (AP). Tarikh 23 Februari 1950 merupakan hari kedua Tahun Baru Cina.

    Pengganas komunis telah merancang untuk menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Ini dilakukan bertujuan untuk menaikkan semula semangat mereka yang sudah luntur akibat kekalahan demi kekalahan yang mereka alami dalam pertempuran.

    Mereka mensasarkan Balai Polis Bukit Kepong kerana menyangka akan memperoleh kemenangan yang mudah. Balai ini terletak jauh di pedalaman dan sukar mendapat bantuan sekiranya di serang.

    Tambahan pula, pengganas komunis baru sahaja mengalami kekalahan teruk di Labis yang telah mengakibatkan kematian 25 orang pengganas komunis dan mencederakan 17 yang lain.

    Serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong telah dilakukan pada awal pagi. Pengganas komunis yang dianggarkan seramai 180 orang telah mengepung dan melancarkan serangan terhadap balai.

    Pengganas komunis yang semakin tertekan telah menggunakan taktik kotor dengan membunuh wanita-wanita serta kanak-kanak.

    “Berpantang ajal sebelum maut,” itulah kata-kata azimat yang telah dilaungkan oleh Sjn. Jamil, Ketua Polis Balai kepada kesemua anggotanya bagi menaikkan semangat mereka.

    Sewaktu bertahan di dalam kubu, Sjn. Jamil cuba mengenal pasti anggota-angotanya yang terkorban. Dengan tak semena-mena peluru musuh berjaya mengenai sasaran dan Sjn. 

    Jamil rebah di perut kubu. Pihak polis telah berjuang habis-habisan demi mempertahankan balai serta keluarga. Isteri-isteri turut mengangkat senjata berganding bahu membalas serangan musuh. Namun satu persatu anggota polis gugur di tempat kejadian.

    Pengganas komunis akhirnya berjaya masuk dan melontarkan bom-bom tangan di sekitar balai. Anggota polis yang cedera semakin lemah. Dalam kepayahan, mereka berjaya keluar dari kubu dan bergerak perlahan-lahan bimbang dikesan musuh.

    Pertempuran ini telah mengorbankan 25 nyawa terdiri daripada 14 orang anggota polis, lima anggota Auxiliary Police (AP), dua orang isteri, dua orang kanak-kanak serta dua orang kampung. Manakala empat orang anggota telah mendapat cedera parah.

    Pengganas komunis telah membakar balai polis, berek polis serta anggota-anggota polis yang terkorban.

    Peristiwa ini terus menjadi lipatan sejarah negara kita kerana peristiwa ini antara peristiwa serangan terhadap polis dan memperlihatkan pengorbanan yang dilakukan oleh setiap anggota dan keluarga dalam mempertahankan maruah, agama dan bangsa. Al-Fatihah.

    Senarai anggota polis yang terkorban:
    1. L/Sjn 3493 Jamil bin Mohd. Shah
    2. Kpl 7068 Mohd. Yassin bin Hj. Abdul Wahab
    3. L/Kpl 7186 Jidin bin Omar
    4. MM 3933 Hamzah bin Ahmad
    5. MM 5674 Abu bin Mohd. Ali
    6. MM 7493 Mohammad @ Ahmad bin Jaafar
    7. MM7862 Abdul. Kadir bin Jusoh
    8. MM 8600 Jaafar bin Hassan
    9. MM 9136 Hassan bin Othman
    10. MM/L 60 Ibrahim bin Adam
    11. MM/L 68 Awang bin Ali
    12. MM/L/ 181 Basiron bin Adam
    13. MM/T 3475 Mohd. Top bin Lajim
    14. MM/T 3795 Jaafar bin Arshad

    Senarai anggota Polis Bantuan yang terkorban:
    1. AP 1925 Ali Akob bin Othman
    2. AP 2127 Othman bin Yahya
    3. AP 2130 Samad bin Yatim
    4. AP 1912 Mahmood bin Sa’at
    5. AP 2098 Redzuan bin Alias

    Senarai isteri anggota polis yang terkorban:
    1. Saadiah, isteri MM 5674 Abu bin Mohd. Ali
    2. Fatimah binti Yaaba, isteri MM/L 37 Abu Bakar bin Daud

    Senarai anak anggota polis yang terkorban:
    1. Simah, anak MM 5674 Abu bin Mohd. Ali
    2. Hassan, anak MM/L 37 Abu Bakar bin Daud

    Orang kampung yang terkorban:
    1. Embong bin Lazim
    2. Koh Ah Cheng

    Angota polis yang cedera parah dan selamat:
    1. MM 7645 Yusof bin Rono
    2. MM 10533 Othman bin Yosof
    3. MM/L 37 Abu Bakar bin Daud
    4. EPC 3472 Ahmad bin Khalid

    Sumber: Muzium PDRM

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad