Header Ads

  • Breaking News

    Hukum dan Fatwa Binaan Atas Kubur

    Hukum dan Fatwa Binaan Atas Kubur
    1) HUKUM BINAAN ATAS KUBUR

    Kalau kita lihat kepada kawasan perkuburan islam di sini,kita akan melihat kebanyakan kubur membuat binaan
    ( simen,mozek,pagar besi dll ) di kawasan kubur. berikut adalah perbahsan para ulamak berkenaan batu nisan dan binaan di kuburan. moga dapat pencerahan tentang isu tersebut :

    1.Imam Muhammad bin Idris al-Syafi`iy ( Imam Asy-syafie )melarang kubur ditinggikan melebihi sejengkal (7 inci) dan beliau melarang kubur di tembok dgn bahan binaan (Fiqh Sunnah, 4:150)

    2. Kubur para Rasul, sahabat dan setaraf dgnnya pun tidak ada pengecualian. Kata Imam Syafi'iy, aku menyaksikan kubur para sahabat mmg tidak ditinggikan..(ibid)

    Ada pun, amalan masyarakat yang suka menabur bunga di pusara, ini pun tidak ada nas yang mensyariatkannya. Adalah dibimbangi perbuatan sedemikian boleh membawa kepada termasuk dalam perhiasan itu tadi.

    Kalau ada pun dalam syarak adalah amalan para ulama yang menyiram air atas pusara selepas jenazah disemadikan.

    Perbuatan memacak sesuatu yang basah seperti pelepah tamar atau kelapa, ada nas menyebut selagi ia masih basah ia masih bertasbih pada Allah memohon keampunan pada mayat.

    Barangkali berdasarkan nas tadi, agak masyhur di kalangan masyarakat kita untuk menanam pokok kemboja kerana ia basah dan akan mendoakan si mati. Perbuatan memacak sesuatu yg basah dan menanam pokok kemboja bertentangan dengan sunnah kerana pelepah tamar itu khusus buat Nabi saw sahaja.

    Imam Bukhari membantah apa jua hujah utk berbuat demikian kerana tak ada kaum salaf yg melakukan demikian (Fiqh Sunnah, 4:165)

    Tetapi tidak pula disebut memacak payung di atas pusara. Tidak ada nas menyuruh perbuatan sebegini dan ulama menyebut ia termasuk dalam khurafat.

    3. Membuat Binaan Atas Kubur

    jabir berkata :"Rasulullah saw melarang mengapur kuburan dan duduk di atasnya atau membangunnya ( meninggikan tanah atau binaan) atau menulis di atasnya." ( HR Muslim,abu daud dan an-nasaie )

    Imam asy-Syafie, Imam an-Nawawi, Ibnu Hazmin melarang perbuatan tersebut

    4. Menulis Nama Pada Nisan

    sebahagian ulama spt imam asy-syaukani membenarkannya tetapi sekadar utk mengenal identiti kubur sahaja spt nama dan bukannya ayat2 al-quran spt yang ada pada batu nisan sekarang kerana ia termasuk larangan dalam hadis di atas.

    5. Tanah Perkuburan Bukan Hak Peribadi

    tanah perkuburan adalah tanah wakaf hak milik orang islam, maka membina batu,kepok,pagar dan sebagainya akan menyempitkan kawasan perkuburan dan jumlah kubur akan menjadi terhad dek kerana banglo kecil yg dibina oleh waris simati.

    saya menasihati supaya membuat tanda sekadar batu nissan yg ringkas sahaja, dan terangkan hal tersebut secara hikmah mudah2 mudahan usaha kita mencontohi sunnah Rasulullah saw memberi syafaat kepada puan dan si mati.

    _______________________________________________________________________________________________

    2)
    Larangan dari Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam:
    Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,
    “Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam telah melarang kuburan dikapur (di simen), dij adik an tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.”
    (Hadith Riwayat Imam Muslim)
    Dan membawa bunga-bungaan / jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah adalah diharamkan yang telah menular dikalangan orang-orang Islam kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kuno dalam upacara-upacara jenazah mereka. Juga kerana perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga..
    Manakala hukumnya adalah haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, juga kerana terdapat pembaziran harta yang ditegah syarak serta terdapat sifat bermegah dan menunjuk yang amat dimurkai Allah subhanahuwata’ ala.
    Ali bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu berkata kepada Abi Hayyaj Al-Asadi.
    wALLAHua’lam. .
    Renung-renungkan
     FATWA: MEMBUAT BINAAN DIATAS KUBUR
      
    1. Fatawa: Membina Maqam Atau Apa-Apa Binaan Atas Kubur (FATWA KEDAH)
    Soalan:
    Haruskah disisi syarak membina apa-apa binaan, maqam atau sebagainya di atas kubur?

    Jawapan:
    1) Makruh dibuat binaan di dalam atau di atas kubur yang di dalam tanah yang dimilki oleh orang yang membuat binaan kecuali binaan itu dibuat bertujuan untuk menyelamatkan kubur dari digali atau dikorek oleh binatang buas atau diruntuh oleh banjir seumpamanya.

    2) Haram dibuat binaan di dalam atau di atas kubur apa jua jenis dan bentuk binaan yang boleh jadi kekal selepas hancur mayat dengan tiada apa-apa tujuan seperti yang tersebut di atas sekiranya kubur itu di dalam tanah yang disediakan untuk perkuburan atau yang di wakaf untuk perkuburan dan wajib dirobohkan kerana binaan yang kekal wujudnya selepas hancur mayat itu menghalangkan orang-orang Islam daripada menggunakan tempat perkuburan itu dengan tiada ada apa-apa sebab yang diluluskan oleh syarak dan meruntuhnya itu hendaklah dengan kebenaran qadhi atau dengan kebenaran Majlis Agama Islam jika ditakuti berbangkit perbalahan atau pergaduhan dan sebagainya, batu-batu dan perkakas-perkakas binaan itu menjadi hak milik warisnya dipulangkan kepada mereka jika tiada waris atau ada tetapi mereka enggan mengambilnya maka menjadi hak kepada Baitulmal.

    Negara asal : Malaysia
    Negeri : Kedah
    Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah
    Penulis/Ulama : Mufti Kerajaan Negeri Kedah

    2. Fatawa: Menambak kubur (FATWA BRUNEI)

    KUBUR (Menambak Kubur)

    Soalan:
    Dengan hormat sukacita kaola ingin mendapatkan fatwa bagi membuat binaan konkrit (tambak batu) di tanah perkuburan (tanah yang sudah digazetkan), yang sama dalam perkara ini ada setengah-setengah pihak yang bertanya ke tempat abiskaola akan perkara tersebut.
    Apa yang abiskaola dapati pada masa ini, binaan konkrit yang dibuat itu terlalu besar, di samping itu pula dibuat lagi lantai simen di sekeliling tambak dan bangku konkrit.
    Jika orang ramai yang berhajat benar akan membina tambak konkrit itu, dengan alasan takut kubur ahli warisnya itu tergali ataupun satu masa nanti akan hilang nisan tandanya disebabkan orang mengubur baru dan membina tambak konkrit, maka persoalan kaola ialah:

    1. Apakah pembinaan tambak dibenarkan dalam hukum syara’?

    2. Jika dibenarkan apakah syarat-syarat atau garis pandu pembinaan tambak tersebut?

    3. Jika pembinaan tambak itu tidak dibenarkan oleh hukum syara’ apakah yang patut dibuat terhadap tambak-tambak yang sudah dibina?

    Dengan adanya fatwa Pehin itu nanti, dapatlah abiskaola memberi penerangan, menjawab sebarang permohonan atau pertanyaan yang abiskaola terima bagi membina tambak konkrit tersebut.

    Jawapan:
    الحمد لله وحده ، والصلاة والسلام علوعلى آله وأصحابه ومن اتبعه
    هديه ورشده ، أما بعد ى من لا نبي بعده ، سيدنا محمد بن عبد الله

    Perlu diketahui bahawa tanah perkuburan orang Islam itu ada tiga jenis:
    1. Tanah perkuburan yang diwaqafkan bagi tujuan perkuburan orang Islam. Hukumnya tidak boleh digunakan bagi tujuan-tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam, sama ada telah hancur luluh tulang dan anggota-anggota mayat atau sebaliknya.
    2. Tanah perkuburan yang dinamakan musabbalah iaitu tanah yang biasa digunakan untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut oleh penduduk-penduduk di kawasan itu, sekalipun tidak diketahui asal puncanya dan tidak diketahui orang yang mensabilkannya. Maka tanah tersebut tidak boleh digunakan selain untuk mengebumikan mayat orang Islam. Walau bagaimanapun menurut pengarang Hasyiyah at-Tuhfah, boleh digunakan tanah tersebut selain menegbumikan mayat jika tulang-tulang dan suku-suku anggota mayat yang dikubur di situ telah hancur luluh, dan tanah itu digunakan lagi untuk menegbumikan mayat oleh penduduk-penduduk di kawasan itu pada masa sekarang dan berazam tidak akan mengebumikan mayat di tanah itu pada masa akan datang.

    3. Tanah mawat iaitu tanah yang bukan kebiasaannya digunakan untuk mengebumikan mayat di tanah tersebut, tanah yang dimiliki oleh seseorang atau tanah yang dipinjam untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut. Apabila ditanam mayat pada salah satu daripada tempat-tempat yang disebutkan itu, maka harus digali kubur itu apabila telah hancur luluh segala tulang dan suku-sukunya, serta harus digunakan semula tanah itu kerana tujuan-tujuan yang lain seperti bertani, dibuat jalan atau didirikan rumah, dalam makna yang lain tanah itu tidak lagi dinamakan tanah perkuburan.

    Di Negara Brunei Darussalam tanah-tanah perkuburan orang-orang Islam disediakan oleh pihak Kerajaan. Tanah-tanah perkuburan seperti ini dipanggil tanah perkuburan awam atau disebut juga kubur musabbalah.

    Adalah dimaklumi keprihatinan ahli-ahli waris si mati membisai dan memperelokkan kubur-kubur keluarga masing-masing dengan menambak kubur-kubur dengan batu atau simen sama ada berbentuk kekal atau sementara (tambak itu boleh dibuka pada bila-bila masa dikehendaki). Selain menambak kubur, ada juga ahli waris membuat tembok kecil daripada batu mengelilingi kubur bagi kemudahan ahli keluarga dan waris si mati untuk duduk ketika menziarahi kubur.

    Hukum Mendirikan Sebarang Binaan Di Atas Tanah Perkuburan Seperti Tambak Menurut Mazhab Syafi;e

    Dalam hal ini Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya Minhaj ath-Thalibin ada berkata:
    يكره تجصيص القبر والبناء والكتابة عليه ، ولو بني فى مقبرة مسبلة هدم
    Ertinya: Makruh memplaster (campuran kapur, pasir dan air yang menjadi keras apabila kering untuk melapis dinding) kubur, membina (sesuatu binaan di tanah milik persendirian bukan di tanah prkuburan awam) dan membuat tulisan (selain nama bagi tujuan pengenalan) di atas kubur. Jika dibina (sesuatu binaan) di perkuburan orang awam (musabbalah) hendaklah dirobohkan. (Minhaj ath-Thalibin: 1/360)

    Dalam kitab al-majmu’, an-Nawawi Rahimahullah dengan jelas mengatakan:
    قال أصحابنا رحمهم الله : ولا فرق فى البناء بين أن يبنى قبة أو بيتا أو غيرهما ، ثم ينظر فإن كانت مقبرة مسبلة حرم عليه ذلك ، قال أصحابنا ويهدم هذا البناء بلا خلاف... وإن كان القبر فى ملكه جاز بناء ما شاء مع الكراهة ولا يهدم عليه
    Ertinya: Sahabat-sahabat kami Rahimahumullah berkata: “Tidak ada beza dalam membina binaan itu di antara membina kubah atau rumah atau selain keduanya. Kemudian hendaklah diperhatikan, jika tanah perkuburan itu adalah perkuburan musabbalah (tanah perkuburan orang awam) adalah haram ke atasnya berbuat sedemikian: Sahabat-sahabat kami berkata (lagi): “Dan hendaklah dirobohkan binaan tersebut tanpa ada pertikaian (para sahabat-sahabat kami)…(Tetapi) jika sekiranya tanah perkuburan itu miliknya sendiri (maka) adalah harus dia membina apa-apa binaan dengan dihukumkan makruh dan tidak dirobohkan (binaan itu).” (Al-Majmu’: 5/260)

    Al-‘Allamah asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullah pula berkata:
    فيكره البناء عليه إن كان في غير نحو المقبرة المسبلة للدفن فيها وإلا حرم سواء كان فوق الأرض أو في باطنها ، فيجب على الحاكم هدم جميع الأبنية التي في القرافة المسبلة للدفن فيها وهي التى جرت عادة أهل البلد بالفن فيها لأنه يضيق على الناس ، ولا فرق بين أن يكون البناء قبة أو بيتا أو مسجدا أو غير ذلك ، ومنه الأحجار المعروفة بالتركيبة ، نعم استثناها بعضهم للأنبياء والشهداء والصالحين ونحوهم.
    Ertinya: Maka adalah dimakruhkan (membina) binaan di atas kubur jika (binaan itu) bukan di seumpama tanah perkuburan orang awam mengebumikan mayat. Jika tidak, (jika binaan itu di seumpama tanah perkuburan orang awam) adalah haram (hukumnya) sama ada (binaan itu) di atas tanah atau di dalam tanah. (Oleh itu) adalah wajib ke atas pemerintah meroboh segala binaan-binaan yang terdapat di tanah perkuburan musabbalah bagi tujuan pengebumian mayat iaitu tanah perkuburan yang telah menjadi kebiasaan penduduk suatu negeri mengebumikan mayat, kerna ianya menyempitkan ke atas manusia (yang lain); dan (pengharaman itu) tidak ada beza di antara binaan yang berbentuk kubah atau rumah atau masjid atau selainnya yang di antaranya ialah susunan batu-batu yang biasa diketahui (tambak daripada batu atau simen yang membentengi atau yang melingkungi kubur); (kecuali) apa yang dikecualikan oleh sebahagian ulama seperti kubur para nabi, syuhada’, orang-orang salih dan seumpama mereka. (Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim: 1/381)

    Al-Malibari Rahimahullah juga berkata:
    وكره بناء له) أي للقبر ، (أو عليه) لصحة النهي عنه بلا حاجة كخوف نبش أو حفر سبع أو هدم سيل. ومحل كراهة البناء إذا كان بملكه. فإن كان بناء نفس القبر بغير الحاجة مما مر أو نحو قبة عليه بمسبلة وهى ما اعتاده أهل البلد الدفن فيها ، عرف أصلها ومسبلها أم لا ، أو موقوفة حرم وهدم وجوبا لأنه يتأبد بعد انمحاق الميت ، ففيه تضييق على المسلمين بما لا غرض فيه.
    Ertinya: Dan dimakruhkan membina binaan baginya iaitu bagi (di dalam) kubur atau di atas kubur tanpa sesuatu hajat keperluan seperti takut digali (oleh pencuri) atau digali oleh binatang atau runtuh kerana banjir, kerana ada hadits shahih yang melarangnya. Dan hukum makruh membina yang sedemikian itu ialah jika tanah perkuburan itu adalah miliknya sendiri. Jika binaan di tanah perkuburan itu (dibina) tanpa hajat keperluan seperti mana yang telah lepas (disebutkan) atau binaan seumpama kubah di atas kubur itu (dibina) di tanah perkuburan musabbalah iaitu tanah perkuburan yang sudah biasa penduduk suatu negeri itu mengebumikan mayat atau di tanah perkuburan waqaf (sama ada) diketahui asalnya (kedudukan tanah itu di mana sebelumnya ianya adalah tanah persendirian kemudian orang yang memilikinya menjadikannya sebagai tanah perkuburan awam atau sebelumnya ia adalah tanah mawat kemudian dijadikan sebagai tanah perkuburan awam) dan diketahui orang yang mewaqafkannya atau pun tidak diketahui, (maka) ia adalah haram dan wajib dirobohkan, kerana binaan itu akan kekal setelah mayat hancur luluh. Binaan itu juga akan menyempitkan tanah perkuburan orang Islam dengan tiada sebarang keperluan di sisi syara’. ( I’anah ath-Thalibin: 2/188-189)

    Untuk lebih jelas, huraiannya adalah seperti berikut:

    1. Jika tanah perkuburan itu adalah tanah perkuburan orang awam (musabbalah) atau tanah perkuburan waqaf, maka adalah haram didirikan sebarang binaan di atasnya dan juga di dalam tanahnya, sama ada berupa atap, kubah rumah, masjid atau lainnya seperti tambak (dibentangi atau dilingkungi dengan batu atau simen di sekelilingnya kubur berkenaan).

    2. Jika tanah perkuburan itu adalah tanah milik khas persendirian, maka adalah makruh sahaja didirikan sebarang binaan di atas atau di dalam kubur berkenaan.

    Hukum haram mendirikan sebarang binaan yang tersebut di atas adalah berdasarkan kepada hadits Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya:
    نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه
    (رواه مسلم)

    Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam menegah daripada diplaster kubur dan diduduki di atasnya serta dibina binaan di atasnya.
    (Hadits riwayat Muslim)

    Tetapi jika tanah perkuburan itu berada di kaki bukit atau di tanah curam yang ditakuti tanah-tanahnya itu runtuh, maka boleh didirikan binaan seperti sekatan tembok umpamanya bagi menghalang daripada terjadinya tanah susur atau runtuh. Perbuatan seumpama ini adalah dibolehkan bagi menjaga mashlahat tanah-tanah kubur itu.

    Tujuan Larangan

    Larangan atau tegahan menambak kubur ini ialah kerana ia akan menyempitkan tanah perkuburan tanpa ada sebarang mashlahat dan tujuan yang syar’i, sedangkan orang-orang Islam yang lain juga adalah berhak menggunakan kubur berkenaan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan perbuatan Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu iaitu selepas baginda melihat satu kubur yang dibina kubah di atasnya. Maka baginda merobohkannya lalu berkata: “Kamu biarkanlah mayat itu dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri.” (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/371-372)

    Kedudukan Binaan-binaan Yang Terdapat Di tanah perkuburan Awam

    Menurut Imam an-nawawi, al-Malibari, al-Baijuri Rahimahumullah berhubung dengan binaan-binaan yang terdapat di tanah perkuburan awam, pihak pemerintah mempunyai hak untuk merobohkannya, malah wajib ke atas pemerintah untuk merobohkannya sebagaimana yang terkandung di dalam nash-nash yang telah disebutkan.

    Walau bagaimanapun sebagai irsyad, perkara ini memerlukan kepada kebijaksanaan pihak-pihak yang berkenaan dalam mengambil tindakan seperti:

    1. Langkah-langkah awal untuk memberi kefahaman kepada orang ramai mengenainya hendaklah dibuat dan dijadikan keutamaan seperti pemberitahuan melalui papan-papan tanda di tanah perkuburan, pemberitahuan melalui khutbah Jumaat dan media massa akan keharaman membina sebarang binaan di tanah perkuburan awam sebelum apa-apa tindakan.

    2. Mewartakan fatwa-fatwa mengenai pembinaan sebarang binaan di tanah perkuburan awam dan seterusnya mengadakan peruntukan undang-undang bagi tujuan penguatkuasaan.

    3. Menguatkan dari segi pentadbiran dan pengawasan oleh pihak berwajib di semua perkuburan orang Islam di Negara ini secara waktu pejabat atau apa-apa jua cara munasabah, di mana jika ini dibuat, tidak akan mungkin binaan-binaan yang berupa rumah atau tambak dan lain-lain itu akan tumbuh, padahal fatwa mengenai hukum membina bangunan atau rumah atau tambak seperti itu sudah pun lama ada – sebelum ini – dapat nenolong menjadi garis pandu.

    والله أعلم بالصواب
    Negara asal : Brunei darussalam
    Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
    Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid
    Tarikh Diisu : 2004

    Nota: Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 2004

    3. Fatwa Mengenai Penyalahgunaan Kubur (FATWA PERAK)
    Fatwa :
    Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan setelah berbincang dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan pada 15 Safar 1427 H bersamaan 18 Mac 2006 M bagi kali 169 dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengistiharkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.“Bahawa haram membina bangunan sama ada berbentuk rumah, kubah atau masjid di atas tanah perkuburan am ( musabbalah ), dan wajib di robohkan segala binaan tersebut” .


    Keterangan :
    DALIL DAN HUJJAH

    Dipetik dari kitab Mughni al-Muhtaj jilid satu mukasurat 364.

    مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج شرح الشيخ محمد الخطيب الشربيني علي متن منهاج الطالبين للامام ابي زكريا بن شرف النووي المجلد الاول.
    (ولو بني) عليه ( في مقبرة مسبلة ) وهى التي جرت عادة اهل البلد بالدفن فيها ( هدم ) البناء لانه يضيق علي الناس ، ولا فرق بين أن يبنى قبة أو بيتا أو غير ذلك.

    Bermaksud :
    Jika seseorang membina binaan di atas kubur am dan ianya merupakan kebiasaan penduduk negeri tersebut hendaklah ( diruntuhkan ) binaan tersebut kerana ianya menyusahkan orang lain. Dan tiada perbezaan samaada binaan itu berbentuk kubah, rumah atau dan lain-lain binaan.
    Dipetik dari kitab al-Majmuk Sharah al-muhazzab juzuk lima muka surat 298.
    قال أصحابنا رحمهم الله : ولا فرق في البناء بين أن يبنى قبة او بيتا او غيرهما.ثم ينظر فإن كانت مقبرة مسبلة حرم عليه ذلك ، قال أصحابنا ويهدم هذا البناء بلا خلاف. قال الشافعي فى الام : ورأيت من الولاة من يهدم ما بني فيها، قال ولم ار الفقهاء يعيبون عليه ذلك ولان في ذلك تضييقا علي الناس. قال أصحابنا وإن كان القبر فى ملكه جاز بناء ماشاء مع الكراهة ولا يهدم عليه. قال إصحابنا وسواء كان المكتوب على القبر فى لوح عند رأسه كما جرت عادة بعض الناس ام في غيره فكله مكروه لعموم الحديث. قال أصحابنا وسواء فى كراهة التجصيص للقبر فى ملكه او المقبرة المسبلة. واما تطبين القبر فقال إمام الحرمين والغزالى يكره ، ونقل ابو عيسي الترمذي في جامعه المشهور أن الشافعى قال لا بأس بتطبين القبر ولم يتعرض جمهور الاصحاب له، فالصحيح انه لا كراهة فيه كما نص عليه ولم يرد فيه نهي.

    Bermaksud :
    Telah berkata ulama’ mazhab Shafie rahimullah : dan tiada beza pada binaan samaada ia berbentuk kubah atau rumah atau lain-lainnya, hendaklah diselidik dahulu jika ianya kubur am haram dibuat binaan atasnya. Ulama berkata hendaklah dirobohkan binaan itu tanpa khilaf.Berkata Imam Shafie dalam kitab al-Um: dan aku lihat daripada pemerintah yang mana mereka merobohkan sebarang bentuk binaan dan aku tidak melihat ulama’ fiqah membantahnya kerana bahawasanya ianya menyusahkan manusia lain. Berkata lagi ulama samaada ianya ditulis diatas satu papan kenyataan di tepi kubur seperti mana kebiasaan adat setengah orang maka semuanya adalah makruh hukumnya kerana keumuman hadis.Berkata lagi ulama : dan begitu juga makruh samaada meletak kapur pada kubur yang dimiliki atau kubur yang am. Adapun meletakan tanah di perkuburan maka imam al Haramain dan imam al Ghazali telah berkata ia adalah makruh. Dan telah menaqal oleh Abu Isa Attirmizi dalam kitab Jami’nya yang mashur bahawasanya As Shafie berkata tidak mengapa meletakkan tanah pada kubur, dan tiada satu tegahan dari Jumhur ulama. Maka pendapat yang sahih bahawa tidak makruh sepertimana nas dan tiada ada satu tegahan pun padanya.

    Rujukan Pewartaan : Enakmen Pentadbiran
    Tarikh Pewartaan : 24 Januari 2007

    4. 
    HUKUM MENGGUNAKAN SEMULA TANAH PERKUBURAN ISLAM (FATWA SELANGOR)
    Oleh : Ustazah Norzila Bt. Mohd. Nor, (Bahagian Istinbat)

    Isu kekurangan tanah perkuburan Islam di negara kita timbul hasil daripada penelitian terhadap beberapa isu semasa yang dibincangkan dalam akhbar harian negara kita. Masalah yang berlaku ini terutamanya di bandar-bandar besar telah disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan beberapa bulan yang lepas. Pelbagai cadangan dan pandangan untuk mengatasi masalah ini telah dikemukakan oleh orang ramai termasuklah cadangan untuk mengguna semula tanah perkuburan yang lama.

    Memandangkan isu ini telah mendapat perhatian ramai, maka satu fatwa telah dibuat untuk memperjelaskan pendirian syara’ mengenai perkara ini.

    HUJAH DAN DALIL
    Kubur dari segi takrifannya merujuk kepada tempat yang digunakan untuk menanam manusia yang telah meninggal dunia.

    Kawasan perkuburan menurut Islam adalah tempat yang perlu dihormati. Umat Islam ditegah daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan adab dan dianggap tidak menghormati mayat di kawasan perkuburan tersebut seperti mendirikan penempatan di atasnya, membina tembok, menggali balik mayat tanpa tujuan dan sebagainya.

    Dalam sebuah hadis ada menyebutkan bahawa :

    Maksudnya :
    “Nabi s.a.w. menegah dari membina tembok di atas kubur, tinggal di atasnya, membuat binaan dan menulis di atasnya”. (Riwayat al-Tarmizi)

    Perbuatan menggali balik mayat dari kubur ditegah oleh Islam kerana ia mencarik kehormatan mayat, tetapi dalam keadaan tertentu dan ada tujuan yang munasabah menurut syara’ maka ia dibolehkan.

    Walaupun begitu, para fuqaha’ Islam berselisih pendapat tentang sebab atau tujuan yang membolehkan mayat
    digali semula, antaranya :

    i Fuqaha’ Hanafiah berpendapat sebab yang membenarkan kubur digali semula ialah apabila ia bersangkutan dengan hak-hak manusia pada kubur atau mayat tersebut seperti tanah kubur tersebut ialah tanah yang dirampas, kain kapan mayat diambil dari kain yang dirampas, ada harta orang lain dalam kubur tersebut atau seumpamanya. Adapun sekiranya hanya bersangkutan dengan hak-hak Allah pada mayat tersebut seperti mayat tidak dimandikan sebelum dikebumikan, tidak disembahyangkan atau seumpamanya maka tidak harus digali semula selepas selesai dikebumikan.

    ii. Fuqaha’ Malikiah pula berpendapat kubur boleh digali semula dalam lima keadaan;

    a. Apabila kain kafan tersebut daripada harta yang dirampas.
    b. Apabila mayat dikebumikan di tanah milik orang lain tanpa keizinan.
    c. Apabila terdapat harta orang lain bersama mayat walaupun sedikit.
    d. Apabila terdapat keperluan (dharurat) untuk mengebumikan mayat lain.
    e. Apabila wujud keperluan memindahkan mayat berdasarkan syarat-syarat yang dibenarkan.

    iii. Fuqaha’ Syafiiah pula berpendapat kubur boleh digali semula dalam keadaan dharurat sahaja. Antara dharurat tersebut ialah mayat yang tidak dimandikan sebelum ditanam, mayat yang ditanam di tanah atau bersama pakaian yang dirampas, harta yang terjatuh ke dalam kubur, mayat yang tidak mengadap kiblat, mayat yang ditanam di masjid dan seumpamanya.

    iv. Fuqaha’ Hanabilah pula mengharuskan kubur digali semula sekiranya ia dibuat untuk menyempurnakan perkara yang wajib dan untuk tujuan-tujuan yang baik. Antara perkara tersebut ialah mayat yang tidak dimandi atau disembahyangkan sebelum ditanam, mayat yang tidak mengadap kiblat, harta yang terjatuh ke dalam kubur dan sebagainya. (Wazarah al-Awqaf wa al-Shu’un al-Islamiah, al-Mawsuahal-Fiqhiah, Jld. 32, hlm. 252-255)

    Ini merupakan pendapat-pendapat fuqaha’ Islam tentang hukum menggali balik kubur mayat sebelum reput.

    Manakala selepas mayat telah reput (berdasarkan pendapat pakar dalam bidang tersebut) maka tidaklah ditegah menggalinya semula. Bahkan diharamkan (iaitu selepas reput) daripada membuat binaan atau meratakan tanah di atas tanah perkuburan yang diwakafkan kerana ia akan menegah orang lain daripada mengebumikan mayat kerana menyangka kubur tersebut masih baru dan mayat belum lagi reput. Sungguhpun begitu sesetengah fuqaha’ berpendapat hal ini dikecualikan kepada kubur-kubur para sahabat Nabi s.a.w. dan orang-orang salih dan terkenal untuk memberi kemudahan kepada orang ramai menziarahinya dan mengambil berkat. (Muhammad bin al-Khatib al-Syurbaini, Mughni al-Muhtaj, Jld. 1, Hlm. 545)

    Berdasarkan pendapat-pendapat di atas maka bolehlah dibuat kesimpulan bahawa;

    i. Tanah perkuburan mestilah dihormati dan adab-adab yang berkaitan dengannya hendaklah dipatuhi.
    ii. Perbuatan menggali kubur pada asalnya tidak dibenarkan dalam Islam, tetapi sekiranya terdapat sebab-sebab.yang dharuri maka ia diharuskan. Hal ini merujuk kepada keadaan mayat yang belum reput.
    iii.Sekiranya mayat telah reput maka tidaklah menjadi kesalahan menggalinya semula untuk tujuan-tujuan yang.munasabah.
    iv.Keadaan reput atau tidak mayat ditentukan melalui orang yang pakar dalam bidang berkenaan.

    WARTA KERAJAAN NEGERI SELANGOR

    HUKUM MENGGUNA SEMULA TANAH PERKUBURAN ISLAM 
    MENURUT seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perintah D.Y.M.M. Sultan menyediakan fatwa yang dinyatakan dalam Jadual dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.

    JADUAL
    1. Harus menggali semula tanah perkuburan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau darurat dengan sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syara’.

    2. Harus menggali semula tanah perkuburan setelah dikenalpasti mayat itu telah reput oleh pihak berkuasa untuk digunakan bagi mengebumikan mayat yang baru.

    3. Tanah perkuburan yang sudah penuh dan tiada kawasan lapang sebagai menambah keluasan tanah perkuburan, maka adalah disarankan bahawa menggunkan semula tanah perkuburan lama dengan cara/kaedah :
    Menimbun tanah di atas kubur lama di kawasan tanah perkuburan setinggi 4 kaki. Kaedah ini amat sesuai ditanah perkuburan yang rendah.

    Bertarikh 8 September 2004
    Diwartakan pada 7 Oktober 2004
    [Mufti Sel. 500-2; PU. Sel. AGM. 0007 Jld. 2]

    SAYA SEKADAR MENCARI DAN COPY PASTE.
    SAMA2 KITA SEBARKAN DAN BERKONGSI ILMU - sumber asal

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad