Header Ads

  • Breaking News

    Kronologi Kes Lewat Anwar Ibrahim

    Kronologi kes liwat Anwar Ibrahim
    KUALA LUMPUR: Hari ini, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya akan memberi keputusan terhadap rayuan terakhir Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara lima
    tahun yang dikenakan terhadapnya bagi pertuduhan meliwat bekas pembantu beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lepas.

    Kronologi kes :

    2008

    28 Jun: Bekas pembantu Anwar, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa dia diliwat di sebuah kondominium di Damansara. Laporan itu dibuat dua hari selepas kejadian itu didakwa berlaku.

    30 Jun: Anwar, 60, memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Saiful kerana membuat laporan polis terhadapnya kerana meliwat dan penasihat PKR itu mendakwa kandungan laporan berkenaan adalah tidak benar dan berniat jahat.

    7 Ogos: Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan meliwat Mohamad Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan disebat jika sabit kesalahan.

    Hakim SM Komathy Suppiah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000, tanpa penjamin sementara menunggu keputusan perbicaraan kes itu.

    7 Nov: Hakim Mahkamah Sesyen SM Komathy Suppiah memutuskan supaya kes liwat Anwar dibicarakan di Mahkamah Sesyen selepas mendapati sijil untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, yang ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.

    Ketika menolak permohonan pendakwaan (supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi), Komathy berkata sijil itu bercanggah dengan jangkaan perundangan Anwar bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu.


    2009

    5 Mac : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kes itu perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi, bukan Mahkamah Sesyen. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu berikutan permohonan pihak pendakwaan agar keputusan Mahkamah Sesyen mengekalkan kes itu di Mahkamah Sesyen dikaji semula.

    Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen SM Komathy Suppiah terkhilaf dalam memutuskan bahawa sijil pemindahan kes itu, yang ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.

    6 Mac: Anwar memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya kes liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.

    10 Mac: Mahkamah Tinggi menetapkan 1 hingga 24 Julai sebagai tarikh perbicaraan kes liwat itu.

    17 Jun : Anwar memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan liwat beliau di Mahkamah Tinggi.

    6 Nov : Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang didakwanya amat penting bagi pembelaannya dalam perbicaraan tuduhan liwat yang dihadapinya.

    Antara dokumen penting itu ialah kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota seorang ahli kimia, dan laporan perubatan.

    1 Dis : Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia tidak boleh membatalkan pertuduhan meliwat terhadap Anwar hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan tidak berlaku penetrasi.

    Ketika menolak permohonan Anwar untuk mengetepikan pertuduhan liwat terhadapnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata laporan perubatan tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah menggunakan kuasanya membatalkan pertuduhan itu.


    2010

    3 Feb: Perbicaraan kes liwat Anwar dimulakan dengan Mohd Saiful memberi keterangan sebagai saksi pertama. Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamad Zabidin itu bermula selepas 18 bulan Anwar dikenakan pertuduhan pada Ogos 2008. Dalam keterangannya, Mohd Saiful berkata Anwar, yang didakwa meliwatnya,
    mengajaknya melakukan hubungan seks luar tabii.

    Mohd Saiful berkata kejadian itu berlaku pada 26 Jun, 2008 selepas dia dan Anwar selesai berbincang tentang jadual kerja mereka di sebuah unit kondominium Desa Damansara di sini.

    5 Feb: Mohd Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia tidak membuang air besar selama dua hari selepas diliwat Anwar. Dia juga memberitahu mahkamah bahawa seluar yang dipakainya pada hari kejadian itu berlaku adalah hadiah daripada Anwar.

    9 Feb: Perbicaraan kes liwat itu ditangguhkan sekali lagi bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan respons kepada afidavit jawapan terhadap permohonan Anwar supaya hakim perbicaran kes itu menarik diri.
    Perbicaraan ditangguhkan selepas pihak pembelaan memohon agar Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan beliau bersifat berat sebelah.

    18 Feb: Anwar gagal dalam cubaannya untuk memastikan Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwat melibatkannya. Ketika menolak permohonan itu, Mohamad Zabidin berkata tiada sebab beliau perlu menarik diri daripada menghakimi kes itu, dan jika beliau berbuat demikian, ia samalah seperti beliau melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawabnya.

    25 Feb: Anwar gagal dalam cubaan terakhirnya mengikut undang-undang untuk mendapatkan dokumen penting, termasuk sampel spesimen DNA Mohd Saiful, sebelum bermulanya perbicaraan kes liwatnya, selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau.

    3 Mac: Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Anwar, (mendiang) Karpal Singh, Mohd Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia tidak membasuh duburnya selepas kejadian liwat yang didakwa berlaku pada 26 Jun, 2008 itu kerana mahu "simpan bukti".

    Mohd Saiful, yang merupakan saksi utama dalam kes liwat ketua pembangkang itu, juga berkata dia tidak mandi selepas kejadian itu dan hanya membilas tubuhnya. Mohd Saiful berkata dia mandi pada pagi sebelum kejadian itu berlaku.

    16 Ogos: Anwar gagal dalam cubaan keduanya untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadap dirinya apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau. Dalam usahanya untuk menggugurkan pertuduhan itu, Anwar mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan pendakwaan adalah dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara Mohd Saiful dengan seorang daripada anggota pasukan pendakwaan.

    20 Sept: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya dengan memberi alasan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan perkara itu.

    6 Dis: Anwar gagal dalam cubaan keduanya meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada menghakimi perbicaraan kes liwatnya apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonannya. Anwar memohon penarikan diri hakim itu berikutan keengganan beliau (hakim berkenaan) mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana menghina mahkamah apabila akhbar itu menyiarkan laporan yang didakwa pihak pembelaan sebagai prejudis terhadap kes ini.

    14 Dis: Bapa Mohd Saiful, Azlan Mohd Lazim, merayu perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar baginda membantu mempercepatkan kes mahkamah melibatkan anak lelakinya itu.


    2011

    14 Jan:  Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan keengganan Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.

    16 Mei: Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful apabila mendapati pihak pendakwaan membuktikan terdapat kes prima facie terhadap ketua pembangkang itu. Dalam penghakimannya, Mohamad Zabidin berkata saksi utama, Mohd Saiful, adalah seorang saksi yang bercakap benar, berwibawa dan boleh dipercayai.

    6 Jun: Anwar gagal dalam cubaan ketiganya meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwatnya. Beliau mengemukakan permohonan itu atas alasan terdapat prapenghakiman dan sikap berat sebelah oleh hakim itu apabila beliau memutuskan bahawa Mohd Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai pada penggulungan kes pendakwaan.

    22 Ogos: Anwar, yang memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh apabila membacakan kenyataannya setebal 32 muka surat, menafikan beliau telah mengadakan hubungan seks dengan Mohd Saiful.

    Anwar mempunyai tiga pilihan - memberi keterangan dari kandang saksi yang yang bermakna beliau boleh disoal balas oleh pihak pendakwaan; memberi keterangan dari kandang tertuduh, yang bermakna beliau tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan, tetapi dalam membuat keputusannya, mahkamah mengambil kira fakta bahawa pihak pendakwaan belum menyoal balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri.

    Dalam perbicaraan kes liwatnya yang pertama pada 1998, Anwar memberi keterangan dari kandang saksi.

    6 Okt: Mahkamah Tinggi memutuskan adalah tidak perlu bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, memberi keterangan sebagai saksi pihak pembelaan dalam perbicaraan kes itu.

    Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib dan Rosmah untuk mengetepikan sapina yang mengarahkan mereka menjadi saksi pihak pembelaaan pada perbicaraan kes berkenaan.

    Hakim Mohamad Zabidin berkata selepas meneliti afidavit dan hujah daripada pihak-pihak berkaitan, mahkamah bersetuju dengan peguam yang mewakili Najib dan Rosmah bahawa Anwar gagal menunjukkan kerelevanan dan kepentingan apabila mengemukakan sapina kepada perdana menteri dan isteri.


    2012

    9 Jan: Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful. Dalam penghakiman setebal 80 muka surat, Hakim Mohamad Zabidin berkata berlaku kemasukan zakar tetapi ia tidak disokong oleh bukti lain.

    Beliau berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus yakin mengenai integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana sampel itu mungkin telah kompromi sebelum tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.

    9 Julai:  Pihak pendakwaan mengemukakan petisyen rayuan mengandungi sembilan alasan, antara lain, supaya Anwar disabitkan atas tuduhan meliwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

    12 Sept: Anwar menarik balik saman beliau terhadap Mohd Saiful yang membuat laporan polis terhadapnya kerana meliwat dengan mendakwa laporan itu bersifat palsu dan berniat jahat.


    2013

    22 Feb: Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari bermula 22 Julai 2013 untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Anwar.

    18 Sept: Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa raya bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuannya terhadap keputusan membebaskan ketua pembangkang itu daripada tuduhan meliwat.

    2 Okt: Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari bermula 11 Dis untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Anwar.

    21 Nov: Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee Abdullah daripada bertindak sebagai pendakwa raya untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuannya.

    Beliau mengemukakan permohonan itu dengan alasan bahawa Muhammad Shafee tidak boleh bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan itu kerana beliau (Muhammad Shafee) adalah saksi penting pada perbicaraan kes liwat itu.

    11 Dis: Anwar memfailkan permohonan kali keduanya untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee.

    20 Dis: Anwar gagal dalam permohonan kali keduanya untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee mengetuai pihak pendakwaaan. Ketika menolak permohonan Anwar, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa permohonan itu tidak mempunyai sebarang merit.

    Kali ini, Anwar menggunakan maklumat daripada akuan berkanun bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim sebagai alasan untuk mengemukakan permohonan.


    2014

    6 dan 7 Mac: Mahkamah Rayuan mendengar hujah daripada Muhammad Shafee dan peguam Karpal Singh.

    7 Mac: Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan kerana mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful, enam tahun lepas. Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang mengetuai panel tiga hakim mendengar rayuan pendakwa dalam kes itu, bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan dengan mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar, Hakim Balia berkata panel itu sebulat suara memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah terkhilaf dalam penghakiman beliau bahawa integriti sampel DNA yang digunakan dalam kes itu telah dikompromi.

    Ketika ditemui pemberita kemudian, Karpal Singh berkata berikutan keputusan itu, Anwar tidak dapat mengemukakan borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada 10 Mac.

    24 April: Anwar mengemukakan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan liwat itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 35 alasan kenapa sabit kesalahan dan hukuman ke atasnya perlu diketepikan.

    14 Ogos: Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Okt untuk mendengar rayuan akhir Anwar. Peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah akan mengetuai pasukan pembelaan berikutan kematian peguam Karpal Singh akibat nahas jalan raya pada 17 April.

    14 Okt: Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Muhammad Shafee adalah seorang yang sesuai dan layak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan Anwar pada 28 Okt.

    Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dalam keputusan sebulat suara berkata saluran yang sesuai untuk Anwar mencabar pelantikan Muhammad Shafee ialah melalui semakan kehakiman, bukan melalui notis usul.

    28 Okt: Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan akhir Anwar untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya kerana meliwat Mohd Saiful. Pendengaran yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari mulai 28 Okt itu berlarutan selama lapan hari kerana pihak pembelaaan dan pendakwaaan berhujah secara panjang lebar dan mengemukakan banyak kes perundangan.

    Mahkamah mula-mula mendengar hujah daripada pasukan pembelaan. Pada hari pertama pendengaran, peguam kanan dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai barisan 15 peguam bela, mempertikai berlaku penetrasi dalam kes liwat berkenaan kerana berpendapat keterangan Mohd Saiful tentang kewujudan bahan pelincir yang dipanggil KY Jelly dalam perbuatan itu adalah tidak tekal. Sementara itu, peguam N. Surendran berkata tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar adalah satu konspirasi.

    29 Okt: Peguam Sangeet Kaur Deo memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa profil DNA seseorang dikenali sebagai 'Male Y' yang ditemukan di dalam dubur Mohd Saiful bukan milik Anwar kerana tiada langsung bukti yang boleh mengaitkan 'Male Y' dengan Anwar.

    Ramkarpal Singh Deo pula menyatakan tentang kemungkinan analisis yang dibuat dua ahli kimia terhadap sampel palitan yang diserah kepada mereka oleh para pegawai penyiasat mungkin kepunyaan orang lain, bukan Mohd Saiful.

    30 Okt: Ramkarpal memberitahu mahkamah bahawa tidak terdapat bukti kukuh untuk mengesahkan berlaku penetrasi terhadap dubur Mohd Saiful seperti yang disahkan empat doktor yang memeriksa pengadu. Beliau berkata nota perubatan Dr Mohamed Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi mengesahkan tidak terdapat kecederaan pada dubur pengadu ketika pemeriksaan dibuat terhadapnya dua hari selepas kejadian itu didakwa berlaku.

    31 Okt: Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membalas hujah pasukan pembelaan dengan berkata Mohd Saiful tidak mungkin mereka-reka bukti kerana wujud kebenaran yang jelas dalam keseluruhan keterangan berhubung dakwaannya tentang tindakan Anwar melakukan liwat.

    Muhammad Shafee berkata Mohd Saiful menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya secara spontan dan menerangkan secara panjang lebar tentang perkara yang berlaku sebelum dan selepas perbuatan liwat itu didakwa berlaku.

    Beliau juga berhujah bahawa Mohd Saiful menjadi mangsa gangguan seksual oleh Anwar di tempat kerjanya sebelum kejadian itu apabila dia menjadi mangsa kepada seorang yang dominan, berpengaruh dan berkarisma.

    3 Nov: Muhammad Shafee berkata profil DNA dikenali sebagai 'Male Y' yang ditemukan di dalam dubur Mohd Saiful adalah milik bekas bosnya iaitu Anwar. Kata beliau ini adalah berdasarkan analisis DNA terhadap tiga sampel iaitu berus gigi, tuala 'Good Morning' dan botol air mineral yang diambil dari sel tempat Anwar ditahan selama semalaman di ibu pejabat polis ibu negara dari 16 hingga 17 Julai 2008, yang dilakukan ahli kimia Dr Nor Aidora Saedon.

    Beliau juga berkata keterangan Mohd Saiful berkaitan dakwaan pengalaman seksualnya dengan Anwar sebelum ini boleh diterima dalam kes liwat semasa kerana ia mencerminkan keadaan minda dan tingkah laku Mohd Saiful sebelum, ketika dan selepas perbuatan liwat ini didakwa berlaku.

    4 Nov: Muhammad Shafee berhujah bahawa Anwar sepatutnya membuat ujian DNA untuk membuktikan profil tidak dikenali 'Male Y' yang ditemukan pada dubur Mohd Saiful bukan miliknya. Beliau berkata Anwar juga sepatutnya memanggil saksi alibinya untuk membuktikan beliau tidak berada di unit kondominium berkenaan ketika perbuatan liwat melibatkannya dan Mohd Saiful didakwa berlaku.

    Kata Muhammad Shafee, Anwar, melalui peguamnya, menyenaraikan 13 nama, termasuk isteri ketua pembangkang itu, yang juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemilik unit kondominium berkenaan, dua pembantu rumah dan seorang profesor, tetapi tiada seorang pun daripada mereka dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah bagi menyokong alibi bahawa beliau tidak berada di kondominium tersebut ketika kejadian itu didakwa berlaku.

    6 Nov: Ketika menjawab hujah pihak pendakwaan, Ramkarpal meminta Mahkamah Persekutuan membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat itu kerana kes pihak pendakwaan mengandungi keraguan dan kejadian secara kebetulan yang tidak boleh diterima.

    Merujuk kepada pertemuan Mohd Saiful dengan seorang pegawai kanan polis dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum kejadian liwat itu didakwa berlaku, beliau berkata ia bukan merupakan suatu kejadian secara kebetulan.

    7 Nov: Sri Ram memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa penasihat PKR itu tidak sepatutnya dipersalahkan kerana memilih memberi keterangan dari kandang tertuduh ketika membela diri. Melalui hujah terakhirnya dalam rayuan itu, beliau berkata Anwar memilih berbuat demikian berikutan pengalamannya sebelum ini di mana mahkamah bawahan mensabitkan kesalahannya bagi tuduhan serupa (meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar). Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusannya tentang rayuan itu setelah mendengar hujah kedua-dua pihak.


    2015

    26 Jan: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Feb untuk mengumumkan keputusannya. Tarikh itu diumumkan melalui akaun Twitter Badan Kehakiman Malaysia. Pengumuman itu menyatakan keputusan akan diumumkan pada pukul 9 pagi. - astroawani

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad