Header Ads

  • Breaking News

    Hukum Kanak-Kanak Berada Bersama Saf Dewasa Waktu Solat Berjamaah

    Seringkali kita perhatikan di kebanyakkan masjid atau surau kedudukan saf kanak-kanak semasa solat berjemaah diasingkan daripada saf orang-orang dewasa. Fenomena ini merupakan fenomena biasa yang telah berlaku di negara kita Malaysia secara khusus semenjak dari dahulu lagi. Tidak dinafikan bahawa pendapat yang menyatakan saf kanak-kanak perlu diasingkan daripada saf dewasa juga sebahagian daripada ijtihad ulama berdasarkan beberapa dalil yang akan dibincangkan.

    Satu perkara yang penting untuk diingatkan bahawa pendapat ijtihad para ulama terdedah kepada kesalahan, walaupun demikian mujtahid yang berijtihad tetapi ijtihadnya tidak tepat baginya satu pahala sementara bagi ijtihad yang betul dua pahala, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

    Amr bin al-‘As r.a pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

    إذَا حَكَمَ الحَاكِمُ فَاجتَهدَ ثُمَّ أصَابَ فَلَهُ أجْرَان، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهدَ ثُمَّ أخْطَأَ فَلَهُ أجْرٌ.

    Maksudnya:
    Apabila seorang hakim berijtihad kemudian ijtihadnya betul, dia mendapat dua pahala. Apabila dia berijtihad tetapi salah, dia tetap mendapat satu pahala.”

    Bagi mereka yang telah mengetahui bahawa sesuatu pendapat itu tidak tepat, maka kewajipannya berpegang kepada pendapat yang berdasarkan dalil yang tepat dan tinggalkan pendapat yang tidak kuat.

    1Galakan membawa anak ke masjid

    Membawa anak-anak ke masjid ialah suatu perbuatan yang amat digalakkan, ini kerana dengan melaziminya akan membiasakan mereka untuk bersolat di masjid. Adalah menjadi tanggungjawab serta perhatian kepada setiap ibubapa atau penjaga, apabila anak-anak mereka mencapai usia tujuh tahun untuk disuruh melakukan solat dan melazimi mereka ke masjid. pukullah mereka setelah mencapai sepuluh tahun sekiranya mereka tidak melakukan solat.

    Nabi s.a.w bersabda di dalam sebuah hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud:

    مُرُوا أَوْلاَدَكُم بِالصَّلاَةِ وَهُم أبنَاءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوهُم عَلَيها وَهُم أبنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ.

    Maksudnya:
    Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mendirikan solat ketika umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mendirikan solat) ketika umur mereka sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.

    Inilah tarbiyyah (didikan) kepada anak-anak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. menunjukkan betapa pentingnya kedudukan solat itu di dalam Islam. Disamping menyuruh mereka bersolat dan memukulnya sekiranya mereka meninggalkannya, ibubapa juga perlu memberi perhatian dalam memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan.

    Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansori r.h. beliau berkata:

    رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يَؤُمُّ النَّاسَ وأُمَامَةُ بِنْت أبِي العَاص وَهِيَ ابنَةُ زَيْنَبَ بِنْت النبي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِن السُّجُوْدِ أَعَادَهَا.

    Maksudnya:
    Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah s.a.w. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula.

    Daripada hadis ini beberapa pelajaran yang boleh diperolehi:
    • Perbuatan Nabi s.a.w. mendukung cucunya Umamah sewaktu mengimami solat menunjukkan tiada halangan membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid.
    • Faedah lain yang boleh diperolehi dari hadis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum mumaiyiz tidak membatalkan solat seseorang seperti yang disalah fahami oleh sebahagian pihak dengan menyatakan sekiranya kanak-kanak berada di dalam satu saf dengan orang dewasa akan menyebabkan satu saf terbatal. Pendapat ini batil sama sekali.
    • Pergerakan yang lebih dari tiga kali tidak membatalkan solat seseorang. Perbuatan Nabi s.a.w meletak dan mengangkat cucunya ketika solat sudah pasti melebihi tiga pergerakan yang besar tetapi ianya tidak membatalkan solat baginda s.a.w.
    Kesimpulannya sekiranya kanak-kanak yang mencapai umur mumaiyiz iaitu dalam lingkungan tujuh tahun ke atas maka tidak dihalang membawa anak-anak ke masjid bahkan ianya digalakkan sebagai latihan untuk membiasakan mereka bersolat di masjid. Adapun kanak-kanak yang kurang dari umur tujuh tahun atau yang belum mumaiyiz maka ia tidak digalakkan kecuali sekiranya boleh dikawal dari mengganggu orang lain atau mengotorkan masjid. Juga sekiranya ada hajat yang mendesak, contohnya tiada sesiapa yang boleh menjaganya di rumah dan sebagainya. Ini antara yang dinyatakan oleh Lajnah Daimah iaitu majlis fatwa Saudi juga pendapat yang dikemukan oleh Syeikh Soleh al-Fauzan.

    Adapun hadis yang diguna oleh sebahagian pihak yang melarang membawa kanak-kanak ke masjid merupakan hadis yang dhoif dan tidak boleh dijadikan hujah iaitu:
    Hadisnya berbunyi:
    جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ..
    Maksudnya: Jauhkanlah kanak-kanak dari masjid. hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban(hadis dhoif).

    2- Saf kanak-kanak
    Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Anas r.h. beliau berkata:
    أنَّهُ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَم صَلَّى في بيتٍ أُمِّ سُلَيْمٍ فَقُمْتُ أَناَ وَيَتِيْمٌ خَلْفَهُ وَأُمِّ سُلَيْم خَلْفَنَا

    Maksudnya:
    Nabi s.a.w. bersolat dirumah Ummu Sulaim, Aku (Anas) dan seorang yatim mengikutnya bersolat dibelakangnya dan Ummu Sulaim dibelakang kami.
    Ibn Abbas r.h. berkata:

    تُّ عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ، فَقَامَ النَّبِي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يُصَلِّيبِ مِنَ اللَيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي وَأَقَامَنِي عَنْ يَمِيْنِهِ.
    Maksudnya:
    Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, pada malam itu Nabi s.a.w. bersolat. Maka akupun bersolat bersamanya lalu berdiri di sebelah kirinya. Kemudian Nabi s.a.w. memegang kepalaku sambil menarik aku ke sebelah kanannya. Hadis riwayat al-Bukhari.
    Kedua-dua hadis di atas dalil menunjukkan kanak-kanak yang belum baligh boleh bersolat bersama orang dewasa tanpa mencacatkan solatnya. Hadis yang pertama Anas bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w. maka sudah tentu anak yatim tersebut seorang yang belum baligh, sekiranya sudah baligh tidak dipanggil anak yatim lagi. Semetara hadis yang kedua Ibn Abbas yang ketika itu masih kecil bersolat disebelah Nabi s.a.w.
    Jelaslah bahawa tiada saf yang khusus dijadikan untuk kanak-kanak seperti yang dilakukan oleh sebahagian masjid. kanak-kanak boleh dimasukkan sekali ke dalam saf orang dewasa.
    Di dalam kitab-kitab feqah dinyatakan susunan saf ketika solat berjemaah seperti yang dinyatakan oleh Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya “al-Mufassal” jilid 1, hal. 244-245, hendaklah saf dimulai orang dewasa kemudian diikuti oleh kanak-kanak kemudian khunsa seterusnya perempuan dan akhirnya kanak-kanak perempuan. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab hanbali, seperti yang dinyatakan di dalam kitab “al-Mughni” jilid 2 hal. 429.
    Dikalangan ulama’-ulama’ syafieyyah juga berpendapat sedemikian. Tetapi saya melihat walupun mereka berkata demikian iaitu susunan saf seperti yang dinyatakan “dimulai orang dewasa kemudian diikuti oleh kanak-kanak kemudian khunsa seterusnya perempuan dan akhirnya kanak-kanak perempuan” namun mereka tidak mengkhususkan satu saf untuk kanak-kanak sehingga mereka langsung tidak boleh bersolat satu saf dengan orang dewasa. Ini dibuktikan dengan apa yang dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj ila Makrifati Ma’ani alfaz al-Minhaj, jilid 1, hal. 492:

    وَإِنَّمَا تُؤَخِّرُ الصِّبْيَان عَنْ الرِّجَالِ كمَا قالَ الأذْرَعِي إذَا لَمْ يَسعَهُم صَفَّ الرِّجَال وإلا كَمَلَ بِهِمْ.

    Maksudnya:
    Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh al-Azraie apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa maka ianya diisi dengan kanak-kanak.
    Jelas daripada apa yang dikatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini ini. sekiranya saf orang dewasa terdapat kekosongan maka saf tersebut perlu diisi dengan kanak-kanak. Tidak terdapat di sana saf yang dikuhususkan kepada kanak-kanak. Wallahu a’lam.

    3- Mengkhususkan saf untuk kanak-kanak

    1- Antara dalil yang digunakan oleh mereka yang mengkhususkan saf bagi kanak-kanak sehingga menjadikan saf kanak-kanak jauh di belakang masjid ialah hadis yang diriwayatkan Muslim:

    لِيَلِنِي مِنْكُم أُوْلُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُم، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ
    Maksudnya:
    Hendaklah mereka yang berada dibelakangku ahli ahlam (baligh) dan Nuha (beraqal), kemudian seterusnya dan seterusnya…(juga maksud ulil ahlam dan nuha ialah mereka yang mempunyai ilmu dan tahu hukum hakam solat berjemaah, boleh membetulkan imam sekiranya tersilap)
    Syeikh Soleh Ibn Utsaimin menjawab: dalil ini tidak tepat untuk dijadikan hujah mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa. Ia juga bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w.

    مَنْ سَبَقَ إِلَى مَا لَمْ يَسْبِقُهُ إِلَيْهِ أَحَدٌ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ
    Maksudnya: sesiapa yang mendahului orang lain kepada sesuatu maka dia lebih berhak mendapatkannya.
    Hadis yang diriwayatkan Muslim di atas membawa maksud galakkan dan gesaan kepada ulil ahlam dan nuha iaitu yang baligh dan beraqal supaya berada di belakang Rasulullah kerana mereka lebih faham daripada kanak-kanak.
    Nabi tidak menyatakan لاَ يَلِيْنِي إلاَّ أُوْلُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى yang bermaksud jangan berada dibelakangku kecuali yang baligh dan beraqal. Sekiranya lafaz hadis datang seperti lafaz ini iaitu tegahan berada dibelakang Nabi kecuali kepada mereka yang dinyatakan maka ketika itu barulah membawa hukum kanak-kanak tidak boleh berada di saf belakang Nabi s.a.w.
    Tetapi walaupun demikian para ulama’ bersetuju bahawa mereka yang sepatutnya berada di belakang imam ialah mereka yang baligh dan beraqal yang mempunyai ilmu tentang solat, supaya sekiranya terjadi sesuatu maka orang yang berada di belakang imam tahu apa yang perlu dilakukan.
    Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan:

    السُّنَّةُ: أَن يَتَقَدَّمَ فِي الصفِّ الأوَّل الفَضْلُ وَالسِّنُّ، وَيَلِي الإمام أكْمَلُهُم وَأفضَلُهم، قال أحمد: يَلِي الإمامُ الشُّيُوخُ وأهلُ القُرْآنِ وَتُؤَخِّرُ الصِبْيَانَ وَالغِلمانَ وَلاَ يَلُونَ الإمَام.
    Maksudnya:
    Sunnah: mendahului mereka yang baik dan berumur pada saf yang pertama, dan mereka yang berada dibelakang imam yang paling baik dan sempurna dikalangan mereka. Imam Ahmad berkata: yang berada di belakang imam mereka yang lebih tua, dan ahli al-Quran, dan di belakangkan kanak-kanak serta tidak di tempatkan di belakang imam. (Al-Mughni, jilid 2, hlm.429)

    Ingin saya ingatkan bukan hanya kanak-kanak sahaja yang tidak sepatutnya duduk dibelakang imam tetapi merupakan satu kesalahan juga sebahagian orang awam yang sering melazimi belakang imam sedangkan mereka tidak tahu hukum hakam yang berkaitan dengan solat berjemaah. Nanti akan menyebabkan mereka tidak tahu tindakan yang perlu dilakukan apabila terjadi sesuatu kepada imam.

    2- Satu lagi dalil yang dijadikan hujah untuk mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa ialah hadis:

    كَانَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عليه وَسَلَّمَ يَجْعَلُ الرِّجَال قدَّام الغِلْمَان، والغلمانُ خَلْفَهُم، والنِّسَاءُ خَلْفَ الغِلْمَان
    Maksudnya:
    Rasulullah s.a.w. menjadikan saf orang dewasa dihadapan kanak-kanak, dan saf kanak-kanak dibelakang mereka semetara saf perempuan di belakang kanak-kanak.
    Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud. Syeikh al-Albani menyatakan:
    “Sanad (rangkaian perawi) hadis ini dhoif (lemah). Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah namanya Syahr bin Husyab. Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah. Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim dibelakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini.” (Tamamul Minnah, hlm. 284)
    3- Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah satu saf tersebut. Hujah ini hujah yang tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan seperti yang dinyatakan Nabi s.a.w. mendukung Umamah cucunya ketika solat.
    Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan:
    Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam al-Syafie dan selainnya.
    Mengasingkan kanak-kanak di belakang masjid atau menyisihkan mereka sewaktu berada di masjid akan mengundang perkara negatif seperti:
    • Akan menyebabkan kanak-kanak tidak suka kepada masjid, apabila ini berterusan ia akan melekat di dalam dirinya. Apabila mereka meningkat dewasa mereka akan menjauhkan diri dari institusi masjid.
      Mereka akan merasakan masjid bukan tempat untuk kanak-kanak atau orang muda kerana apabila mereka datang ke masjid seolah-olah mereka ini tidak dilayan dan ditempatkan di saf yang paling belakang.
    • Mereka akan merasakan mereka tiada hak untuk duduk di dalam saf, ini kerana apabila hadir awal dan duduk di saf hadapan maka pasti akan ada siak yang menyuruhnya ke belakang sedangkan tempat itu merupakan haknya.
    • Menimbulkan rasa benci kepada orang yang memarahi dan menyuruhnya duduk di belakang. Sehingga sebahagian masjid ada menyediakan pegawai yang memegang rotan untuk mengawal kanak-kanak.
      Keburukan apabila mengumpulkan kanak-kanak di satu tempat di belakang masjid sudah pasti mereka akan bermain sesama sendiri dan membuat bising seterusnya mengganggu orang yang berada di dalam masjid. Itu merupakan fitrah kanak-kanak. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku adalah lebih baik kanak-kanak itu duduk bersama ayahnya atau penjaganya sewaktu berada di dalam masjid kerana ini menghalang untuk mereka berkumpul dan membuat bising.

    4- Mendahului kanak-kanak yang mempunyai kelebihan

    Kanak-kanak yang mempunyai kelebihan seperti mereka yang menghafal al-Quran dan bagus bacaannya atau kanak-kanak yang dianugerahkan Allah akan ilmu dalam agama boleh dikehadapankan daripada orang awam biasa. Sehingga boleh dilantik sebagai imam walaupun belum mencapai usia baligh. Imam Khatib al-Syarbini menyatakan:

    وَقِيْل: إنْ كَانَ الصِبْيَانُ أفضَلُ مِن الرِّجَالِ كَأَنْ كَانُوا فِسْقَة وَالصِبْيَانُ صَلْحَاء قَدِّمُوا عَلَيْهِم، قَالَهُ الدَّارِمِي.

    Maksudnya:
    Dikatakan: sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik) daripada orang dewasa seperti merka fasiq tetapi kanak-kanak itu dari kalangan baik dan bagus maka kanak-kanak itu dikehadapankan daripada orang dewasa. Pendapat ini disebutkan oleh al-Darimi. (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 492)
    Persoalan yang mungkin timbul ialah adakah sah solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh?

    Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Amr bin salamah al-Jurmi mengimami kaumnya sedangkan umurnya ketika itu enam atau tujuh tahun.
    Nabi s.a.w. bersabda:

    أنه يَؤُمُّهُم أكثَرُهُم قُرْآناً
    Maksudnya:
    Yang mengimami mereka ialah yang paling baik bacaan al-Qurannya.
    Ketika dibaca sabda Nabi ini, orang ramai melihat-lihat kiri dan kanan maka mereka dapati tidak ada orang lain yang lebih baik bacaannya kecuali Amr bin salamah al-Jurmi, kemudian beliau mengimami solat kaumnya. Hadis ini dalil kepada sahnya solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh.
    Fatwa ini juga dinyatakan oleh Syeikh Abdul Aziz ibn Baz dan Syeikh Muhammad Soleh ibn Utsaimin
    -والله تعالى أعلم- --pqssmkdpb.blogspot
    sumber lain artikel berkaitan

    video berkaitan
    ustaz azhar idrus
    dr. abdul basit
    dr maza

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad