Header Ads

  • Breaking News

    Helikopter Terhempas di Semenyih, Enam Maut

    Semenyih – Saksi melihat sebuah helikopter, yang dinaiki enam orang, meletup di udara sebelum terhempas dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih petang tadi.

    Roslan Harun, 54, seorang pengawal keselamatan yang bertugas menjaga stor berhampiran tempat kejadian berkata kejadian itu berlaku ketika hujan lebat.

    “Meletup terus, berkecai di udara, tak jauh dari tanah, kipas dan ekor helikopter terpelanting ke merata tempat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

    Roslan yang ketika itu berehat di rumahnya kira-kira satu kilometer dari tempat nahas helikopter itu, berkata beliau cuba memasuki kawasan berkenaan tetapi membatalkan niatnya dan terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    Menurutnya kawasan nahas itu terletak kira-kira 5 km di dalam kawasan Kampung Sungai Pening, kira-kira 13 km dari pekan ini.

    “Nak masuk ke tempat helikopter betul-betul terhempas, kita kena masuk 2km ke dalam kawasan kebun getah,” katanya.

    Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Dr Ir Jamaluddin Jarjis antara enam penumpang terlibat dalam nahas helikopter yang terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih di sini, hari ini.

    Perkara itu disahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada NST Online.

    Antara yang dikenal pasti juga dipercayai seorang pembantu khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan lima mayat ditemui manakala seorang lagi masih dalam pencarian.
    “Saya sedang ke lokasi kejadian helikopter terhempas bersama OCPD. Setakat ini 5 jenazah ditemui dari 6 org yg dalam helikopter,” katanya di laman Twitternya.

    Berdasarkan maklumat, helikopter tersebut adalah milik swasta S365 (Solitaire Services) dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang.

    ————————————-

    Semenyih – Enam maut dalam insiden sebuah helikopter terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, di sini, petang tadi.

    Kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira jam 4.30 petang.

    Dua mangsa yang dilaporkan berada dalam helikopter terbabit dipercayai rentung.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Sani Harul ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu petang tadi.

    Bagaimanapun beliau menjelaskan, maklumat terperinci berkenaan status milik helikopter itu masih belum dapat dipastikan.

    Menurut sumber SuaraTV, ahli parlimen Rompin Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis antara penumpang yang berada di dalam helikopter tersebut.

    Selain Dr Jamaluddin, pesawat terbabit dikatakan turut dinaiki oleh Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Dato Seri, Azlin Alias.

    Sumber tersebut turut berkata, helikopter jenis AS 3655N2 Dauphin (9M-1GB) itu di pandu oleh Kapten Cliff Fournier, dilaporkan terbakar sebelum terhempas berhampiran Jalan Sungai Lalang – Kg Pasir Baru.

    Kesemua mangsa dikatakan baru pulang dari menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di Pekan, Pahang.

    Ahli parlimen Rompin itu sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Program Perumahan Rakat 1Malaysia (PR1MA) dan Utusan Khas Malaysia bertaraf menteri ke Amerika Syarikat.

    Namun sehingga kini tiada sebarang pengesahan rasmi berhubung kenyataan sumber tersebut dan SuaraTV masih menuggu pengesahan dari pihak Polis Diraja Malaysia berhubung kejadian ini.

    Sehingga laporan ini ditulis, dilaporkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Kajang dan Bangi telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Sementara itu menurut sumber portal Utusan Online lima daripada enam penumpang helikopter AS365 yang dilaporkan terhempas dan terbakar di Kampung Pasir Baru, Sungai Lalang, Semenyih, Hulu Langat petang ini ditemukan maut.

    Dua mangsa dikatakan rentung manakala empat mangsa lain berjaya ditemukan.

    Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) pula berkata kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.

    “Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu,” katanya kepada Bernama.-suara.tv

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad